DEMI KELANGSUNGAN PONDOK
Apa yang paling penting ketahui bahawa intitusi pondok merupakan pusat perkembangan ilmu dan agama Islam yang mesti dipertahankan. Kita bimbangkan bahawa pusat ilmu ini akan mati begitu sahaja sedikit masa nanti memandangkan kepedulian masyarakat dan pimpinan kini tidak begitu mengambil berat masalah pondok. Hari demi hari pondok semakin mundur, pelajar-pelajar semakin kurang dan golongan ulamak tua juga semakin tiada (meninggal dunia). Bagi generasi baru berpendidikan agama dari institusi pengajian formal mahupun yang hasil keluaran (bekas pelajar) pondok sendiri juga tidak berminat untuk meneruskan perjuangan dipondok bagi membantu pondok-pondok. Faktor gaji, kemudahan dipondok, kurang bantuan, tiada sambutan dan lain-lain dikenalpasti sebagai penyebab utama pondok kian terabai. Ramai pelajar keluaran pondok sendiri lebih rela makan gaji iaitu bekerja dengan kerajaan atau swasta dan lain-lain dari terus menunggu pondok yang semakin terpinggir.
Alangkah ruginya kerajaan membiarkan pusat khazanah ini berkubur begitu sahaja, bukan setakat nilai ilmu pada kitab-kitab tua yang kita sayangi akan tidak ditelaah lagi malah penutupan pondok bererti tradisi sejarah pengembangan ilmu-ilmu Islam secara tidak formal yang penuh dengan nilai-nilai yang tidak dapat dicari di institusi lain juga akan berakhir di situ. Kita lihat ramai tokoh-tokoh ilmuan atau ahli akademik hari ini ialah orang yang pernah menuntut atau duduk menadah kitab di pondok-pondok satu ketika dahulu.
Saya mencadangkan kepada kerajaan agar mengambil pendekatan yang serius membantu tidak kira pondok di negeri mana sekalipun. Paling penting bantuan kewangan perlu disalurkan segera dan di masukkan dalam salah satu senarai bajet Negara sesuai dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang mempelopori Prinsip Islam Hadhari. Selain bantuan ekonomi, kepakaran, kemahiran, kemudahan asas juga perlu disediakan bagi membantu institusi pondok. Kerajaan memang perlu campurtangan bagi membangunkan dan memajukan institusi pondok dan menjadikan insitusi ini tidak kalah dan mengikut arus kini. Sepatutnya pondok-pondok mesti didekati oleh pihak pimpinan bagi mengambil hati pihak pengurusan pondok dan hati orang-orang pondok sendiri bukan setakat untuk menang pilihanraya sahaja tetapi untuk kepentingan agama, nusa dan bangsa. Oleh itu janganlah kita asyik menyalahkan orang pondok yang ekstem menyokong pembangkang sahaja dengan tidak memberi bantuan. Apa yang lebih penting buat kajian semula sejauh mana usaha kita dan peranan kita untuk mendekati mereka yang diabaikan dan tidak pernah diambil peduli selama ini sebelum kita menyalahkan sesiapa. Ambillah peluang di depan mata. Saya ibaratkan kepada institusi pondok ini dengan kerajaan seperti " Orang mengantuk disorongkan bantal" .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan